Awas! Konsert GENKRU bakal gegar Axiata Arena 3 Mei 2025

Oleh: Hanim Nadia

KALI terakhir mengadakan konsert pada tahun 2018, trio legenda negara, KRU bakal kembali menemui peminat dengan Konsert GENKRU pada 3 Mei 2025 di Axiata Arena.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, yang juga penganjur GENKRU, meluahkan rasa teruja kerana berjaya mencetak sejarah membawa KRU kembali menakluk semua peminat daripada pelbagai generasi.

“Konsert ini adalah penghormatan kepada sejarah dan pengaruh KRU dalam membentuk landskap muzik tempatan. Jangan lepaskan peluang ini kerana ia akan menjadi pengalaman yang sukar diulangi,” katanya.

Kongsi Iman, beliau telah ‘merisik’ KRU dari 1 November 2022 lagi untuk merealisasikan konsert mega ini dan akhirnya ‘pinangan’ Iman diterima pada September 2024.

Sementara itu, KRU menyambut baik penganjuran GENKRU dan percaya dengan kredibiliti Iman Tang sebagai penganjur.

Menurut Datuk Norman Abdul Halim, 52, kira-kira lima promoter cuba memujuk untuk anjurkan konsert mega namun akhirnya memilih Icon Entertainment.

“Satu hal bagus pasal Iman, dia ada latar belakang kreatif dan kesungguhan terhadap muzik untuk berikan yang terbaik kepada penonton. Saya rasa dia pun jaga nama dia.

“Kami pun semestinya nak jaga legasi dan nama KRU. Memang padanan yang tepatlah. Kami takkan kecewakan siapa-siapa. Sebelum ini pun kami sentiasa bereksperimen perkara baharu dan yakin dengan kepakaran kami ada.

“Bukan hanya sebagai penyanyi mahupun penghibur. Kami sudah buat persiapan dan pengorbanan untuk latihan, kecergasan, demi pastikan dapat beri persembahan paling baik,” katanya pada petang Isnin.

Bagi KRU juga, GENKRU adalah peluang mereka untuk mengimbau semula perjalanan seni yang luar biasa, dari era 90-an hingga ke masa kini.

Kepada peminat KRU, anda diminta untuk memakai tema 90-an seperti Maui & Sons, Vision Street Wear, FUBU dan Timberland bagi merasai sepenuhnya nostalgia zaman itu.

Tiket untuk konsert GENKRU boleh didapati mulai 20 Disember ini, Jumaat, 11 pagi.

Harga tiket bermula dari kategori OOH!LA!LA (RM258) hingga FANATIK (RM588) dan pembelian boleh dilakukan di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/kru.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat