Aweera kritik bayaran rendah, tegur penganjur tak hargai artis

Oleh: Aliyaa Azmi

PENYANYI rock, Aweera tampil menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sikap segelintir penganjur acara yang didakwa menawarkan bayaran rendah kepada artis, termasuk kumpulan istimewa Caliph Buskers.

Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Norhissham menyifatkan tindakan menawarkan bayaran serendah RM500 kepada artis sebagai tidak masuk akal dan tidak menghormati nilai kerja seni.

“Saya harap artis-artis jangan jual murah. Kita ada maruah. Tak boleh penganjur buat kita macam ni. Awak ingat kami ni murah sangat ke?” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Aweera, yang juga pernah berdepan dengan situasi yang sama, menyatakan bahawa beliau sangat memahami kesulitan yang dialami oleh Caliph Buskers dan artis-artis lain dalam industri.

“Saya sendiri pernah menghadapi situasi macam ni, dan saya sangat faham nasib Caliph Buskers dan segelintir penyanyi/band/solo di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Caliph Buskers juga turut memberi sokongan kepada kenyataan Aweera. Kumpulan yang terkenal dengan persembahan penuh emosi ini menyuarakan rasa kecewa kerana sering kali ditawarkan bayaran yang sangat rendah, bahkan untuk persembahan yang jauh dari Kuala Lumpur.

“Banyak kali kami dijemput ke luar Kuala Lumpur, ke utara atau selatan tanah air, tetapi bayaran yang diberikan tak sampai RM1,000. Kami tak minta layanan VIP, cukup kalau seni kami dihargai dengan sewajarnya,” kata Fendy Adlun, anggota Caliph Buskers.

Mereka juga menegaskan bahawa bayaran yang diterima masih jauh lebih rendah berbanding artis yang baru menapak dalam industri dan masih mencari rentak, walaupun mereka sudah berdekad dalam dunia muzik.

“Walaupun sudah lebih 10 tahun dalam industri, kami tak pernah letak harga tinggi, cuma cukup untuk kelangsungan hidup. Tetapi ada yang masih menganggap harga kami terlalu tinggi. Kami berharap agar penganjur dapat menghargai usaha kami dan memberi bayaran yang setimpal,” tambah Fendy.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat