AWFF 2024: Abang Adik menang filem terbaik

FILEM berjudul Abang Adik memenangi hadiah utama filem terbaik di Asian World Film Festival (AWFF) 2024 yang berlangsung di Los Angeles, California pada Jumaat.

Kemenangan tersebut berjaya mengetepikan 15 filem lain yang juga bersaing bersamanya untuk Oscars di Anugerah Akademi ke-97.

Lebih menarik, Wu Kang-ren yang merupakan pelakon utama dalam filem tersebut yang berasal dari Taiwan turut meraih kemenangan sebagai pelakon lelaki terbaik.

Kang-ren mencatat sejarah tersendiri apabila kemenangan itu menjadi kemenangan kedua baginya selepas menang di Golden Horse Awards ke-60 di Taipei untuk filem yang sama pada tahun lalu.

Memetik laporan portal filem Variety, filem Abang Adik adalah sebuah filem berkaitan persaudaraan dan identiti yang menyentuh perasaan sekali gus mengangkat permasalahan golongan tersisih di Malaysia.

Antara filem-filem yang dipertandingkan adalah 12.12: The Day dari Korea Selatan, Laapataa Ladies (India), How to Make Millions Before Grandma Dies (Thailand), dan Meeting with Pol Pot (Kemboja).

Selain itu, pelakon wanita terbaik menjadi milik Diamand Bou Abboud dari Lubnan menerusi filem Arzé.

Untuk makluman, AWFF adalah sebuah festival yang dianjurkan untuk memperkenalkan sinema Asia kepada masyarakat perfileman Hollywood yang bertapak di Los Angeles.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat