B.I Kembali Gegar KL! Konsert Epik Menanti Peminat 21 September Ini

Oleh: Aliyaa Azmi

PENYANYI solo sensasi Korea Selatan, B.I, bakal menghangatkan pentas Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 21 September ini menerusi konsert globalnya, 2025 B.I TOUR: The Last Parade Tour in KUALA LUMPUR.

Dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment, konsert ini menjadi sebahagian daripada siri jelajah dunia susulan pelancaran album studio ketiganya, Wonderland.

Album yang memuatkan 11 trek baharu ini bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa tetapi turut mengukuhkan posisi B.I sebagai antara artis paling berpengaruh di persada muzik global.

Peminat setia, ID (Be Identity), boleh mengharapkan rangkaian lagu baharu dan nostalgia daripada album Waterfall, To Die For, serta siri EP Love or Loved.

Lebih menarik, B.I berjanji akan memberikan persembahan yang bukan sahaja memukau tetapi penuh emosi.

“Ini bukan sekadar konsert biasa. Saya mahu ia menjadi malam yang penuh makna buat saya dan peminat,” kata B.I, memberikan bayangan bahawa Kuala Lumpur bakal menikmati persembahan yang paling istimewa dalam siri jelajahnya kali ini.

Sejak memulakan karier solonya pada 2021 di bawah label miliknya, 131, B.I terus melakar kejayaan, tampil di festival muzik gergasi seperti Lollapalooza dan Rolling Loud.

Kolaborasinya dengan nama besar seperti Heize, Woosung, Jessi dan Soulja Boy turut membuktikan keupayaannya menawan hati peminat dari pelbagai genre.

Tiket boleh didapati mulai Jumaat, 13 Jun pukul 12 tengah hari di www.ticketingtix.com dengan harga bermula RM358 hingga RM888.

Anda Mungkin Berminat