PETALING JAYA: Bahasa Tamil, Iban dan Kadazan kini tersenarai antara 24 bahasa yang dipamerkan di ‘Welcome Wall’ Menara Kuala Lumpur (Menara KL), sebagai penghargaan terhadap kepelbagaian linguistik di Malaysia.
Langkah itu diambil susulan isu ketiadaan bahasa Tamil yang mencetuskan perhatian masyarakat India dan media tempatan awal bulan ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penambahbaikan dilakukan segera bagi menangani kebimbangan tersebut.
“Apabila isu ketiadaan bahasa Tamil menjadi tular, saya segera menghubungi pengurusan Menara KL agar bukan sahaja memasukkan bahasa Tamil tetapi turut menambah baik paparan dengan bahasa Iban dan Kadazandusun,” katanya.
‘Welcome Wall’ yang mula diperkenalkan pada November 2021 menampilkan lebih 20 bahasa antarabangsa termasuk Melayu, Inggeris, Mandarin, Sanskrit, Arab dan Jepun.
Namun, sejak pelancarannya, paparan tersebut tidak pernah dikemas kini sehingga isu bahasa Tamil dibangkitkan pada awal September.
Teo menjelaskan bahawa selepas laporan media pada 9 September, pihak pengurusan segera meneliti cadangan teks baharu pada 11 September dan melaksanakan pemasangan versi terkini pada 28 September.
Beliau berkata, isu ini berjaya diselesaikan secara pantas dan berkesan, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap suara rakyat.
Menara KL kini bukan sekadar mercu tanda pelancongan tetapi juga simbol keterangkuman, perpaduan dan kepelbagaian budaya Malaysia.