Bajet alternatif RM6,000 setahun bukan penyelesaian mutlak – Penganalisis

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Cadangan pembangkang untuk menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM6,000 setahun dalam bajet alternatif tidak wajar dianggap sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap isu kos sara hidup.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, bantuan tunai hanya bersifat sementara dan bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah menampung perbelanjaan asas seperti makanan, minuman dan bil utiliti.

“Bantuan ini penting bagi meringankan beban semasa rakyat, tetapi ia bukan penyelesaian mutlak. Tumpuan juga perlu diberikan kepada dasar lain seperti pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan pembangunan industri,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.

Tambahnya lagi, pelaksanaan dasar-dasar tersebut mampu meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan tunai kerajaan.

“Apabila taraf hidup meningkat, penerima bantuan seperti STR dan SARA akan beralih menjadi pembayar cukai. Bagi yang beragama Islam, mereka juga boleh menjadi pembayar zakat, bukan lagi penerima,” jelasnya.

Dr Mohd Afzanizam menambah, jumlah bantuan kewangan perlu disemak setiap tahun berdasarkan kadar inflasi dan kenaikan harga barang bagi memastikan keberkesanan program tersebut.

Beliau turut menyambut baik penambahbaikan dalam Belanjawan 2026 yang memperuntukkan bantuan SARA kepada penerima STR di bawah sistem e-Kasih sebagai usaha menyeluruh kerajaan memperkukuh jaringan perlindungan sosial.

Katanya, matlamat sebenar dasar ekonomi negara bukan sekadar menambah jumlah bantuan, tetapi memastikan jumlah penerima semakin berkurangan hasil kejayaan program pembangunan yang mampu memartabatkan kehidupan rakyat ke tahap lebih baik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat