Ulasan | Menunggu Belanjawan Alternatif Pembangkang

Oleh: Dr Mohd Yusri Ibrahim

SECARA umumnya belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan agak komprehensif dan inklusif.

Namun pembangkang mendakwa belanjawan tersebut ada lompang dan kekurangan, seperti diulas oleh beberapa pimpinan mereka.

Dalam sistem yang mengamalkan Westminster, pembangkang rasmi (the official opposition) sering dikenali sebagai kerajaan menunggu (government in waiting).

Kerajaan menunggu ini biasanya mereka akan membentuk kabinet bayangan (shadow cabinet) mereka sendiri.

Setiap kali kerajaan membentang belanjawan tahunan, pembangkang akan menyediakan belanjawan alternatif mereka sendiri.

Apabila mengkritik belanjawan yang disediakan kerajaan, dalam masa sama mereka menawarkan pilihan alternatif, bukan sekadar kritik.

United Kingdom(UK) sebagai contoh, menteri kewangan bayangan pembangkang sering menggunakan masa perbahasan untuk membentang belanjawan alternatif sebagai cadangan balas terhadap belanjawan kerajaan.

Australia pun sama, ketua pembangkang sering membentang belanjawan alternatif yang dikenali sebagai ‘budget in reply’ semasa membahas belanjawan tahunan.

Sekarang Sweden popular dengan satu sosok, Greta Thunberg, anak autistik yang menggegar dunia.

Tapi dalam bab belanjawan alternatif Sweden juga menarik, ahli-ahli parlimen mereka turut dibenarkan membahaskan belanjawan alternatif yang dibentang oleh pembangkang.

Lebih menarik, pada tahun 2015, ahli-ahli parlimen Sweden lebih berminat terhadap tawaran belanjawan alternatif oleh pembangkang berbanding belanjawan kerajaan.

Saya hanya menyebut beberapa contoh secara ringkas, belum lagi disentuh negara lain seperti Kanada, Finland, Afrika Selatan dan sebagainya.

Ringkasnya, pembangkang yang konstruktif di pelbagai penjuru dunia sering mengeluarkan belanjawan alternatif setiap kali tidak bersetuju dengan belanjawan kerajaan.

Bukan sekadar tidak setuju, bahkan mereka tawarkan pilihan yang mereka percaya sebagai pilihan lebih baik.

Walaupun ini bukan suatu kemestian, tapi ini budaya politik demokrasi yang matang, masing- masing menghidang juadah terbaik untuk dinilai dan dipilih oleh rakyat.

Sebagai salah sebuah negara yang mengamalkan sistem Westminster, pembangkang Malaysia juga wajar membentang belanjawan alternatif mereka sendiri, bahkan ini pernah diamalkan sebelum- sebelum ini.

Secara peribadi, saya sangat berminat untuk meneliti belanjawan alternatif oleh PN (the official opposition), sebagai cadangan balas terhadap belanjawan yang dibentang oleh PMX semalam.

*** Penulis merupakan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu(UMT)

Anda Mungkin Berminat