Bakar Karikatur PM: Tindakan Melampau, Bercanggah Budaya Malaysia – Wanita PKR

PETALING JAYA: Tindakan membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di khalayak umum disifatkan sebagai simbolik yang keterlaluan dan tidak mencerminkan adab budaya masyarakat Malaysia.

Pandangan itu disuarakan oleh Exco Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Norffinie Yassin yang menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan sekumpulan mahasiswa daripada Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam protes terbuka berkaitan isu rasuah.

“Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh tidak bersetuju. Namun adab dalam menyuarakan pendirian mesti dipelihara.

“Pembinaan negara memerlukan keberanian untuk bercakap benar tetapi juga kebijaksanaan dalam memilih cara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berpandangan bahawa aksi provokatif dan mempermainkan simbol kepimpinan negara tidak membantu dalam menyelesaikan isu sebenar, malah hanya memperdalam jurang persefahaman antara generasi.

Norffinie turut menegaskan komitmen PKR terhadap prinsip reformasi, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Tetapi kita (PKR) juga menolak budaya politik kebencian, penghinaan dan simbolik melampau yang tidak membawa nilai tambah kepada perjuangan rakyat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru mahasiswa dan golongan muda agar terus bersuara lantang secara berhemah serta mendidik.

“Jadilah pencetus perubahan yang mendidik, bukan membakar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan pelajar dari Sabah yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Suara Mahasiswa UMS’ telah membakar poster karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri sebagai protes terbuka terhadap dakwaan isu rasuah.

Anda Mungkin Berminat