Bantuan BUDI Agri-Komoditi Dinaikkan, Lebih 200,000 Petani Terima Manfaat

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengumuman kenaikan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi daripada RM300 kepada RM400 sebulan.

Menurut beliau, langkah itu memberi kelegaan kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil di seluruh negara yang terkesan dengan peningkatan kos operasi.

Pengumuman itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Anwar sebagai sebahagian usaha menangani impak krisis tenaga global.

Mohamad berkata, peningkatan kadar bantuan itu dijangka membantu meringankan beban golongan sasar yang kini berdepan pelbagai cabaran.

“Antara kos yang meningkat termasuk bahan api, baja dan logistik yang memberi tekanan kepada operasi harian petani dan pekebun kecil.

“Bantuan ini penting bagi memastikan kesinambungan pengeluaran makanan domestik tidak terjejas.

“Kerajaan juga akan terus memantau keadaan semasa dan menambah baik bantuan dari semasa ke semasa bagi memastikan sektor pertanian kekal berdaya tahan serta menjamin sekuriti makanan negara.” Katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan kenaikan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi membantu pesawah menghadapi musim penanaman.

Dalam masa sama, langkah pelonggaran syarat permit khas diesel bagi jentera pertanian turut diperkenalkan bagi melancarkan kerja di lapangan tanpa kekangan.

“Langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka menampung kos serta memastikan aktiviti pertanian dapat diteruskan dengan lebih lancar,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat