PETALING JAYA: Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan pesawah, petani dan pekebun kecil dengan mengumumkan beberapa langkah tambahan bagi meringankan beban akibat kenaikan kos bahan api susulan krisis tenaga global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman bantuan tersebut.
“Pengumuman kenaikan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar tentunya memberikan kelegaan kepada sebahagian pesawah padi yang bakal memulakan musim penanaman pada bulan ini,” katanya.
Selain itu katanya, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi turut ditingkatkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan yang menurut beliau membuktikan bahawa kerajaan memahami beban lebih 200,000 petani dan pekebun kecil yang kini bergelut dengan kos operasi pertanian.
Mohamad Sabu turut menghargai langkah kerajaan memudah cara pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian melalui pelonggaran syarat permit khas untuk pembelian bahan api melebihi 20 liter yang dijangka melancarkan operasi di lapangan.
“Kesemua langkah tambahan ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI terus cakna dan peduli terhadap kebajikan pesawah dan petani negara,” katanya.
Tambah beliau, bantuan tambahan itu bukanlah langkah terakhir kerana kerajaan akan terus menilai kesan krisis tenaga global terhadap sektor keterjaminan makanan dan mempertimbangkan langkah mitigasi tambahan sekiranya diperlukan.
Katanya lagi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus komited memastikan sektor pertanian negara kekal aktif, berdaya tahan dan mampu menjamin keterjaminan makanan rakyat.








