Kerajaan MADANI Ambil Langkah Segera Bantu Pengguna Diesel

PETALING JAYA: Ketika dunia berdepan tekanan kos bahan api dan gangguan rantaian bekalan global, Kerajaan MADANI mengambil langkah segera meningkatkan bantuan kepada pengguna diesel bagi meringankan beban rakyat serta memastikan kelancaran aktiviti ekonomi negara.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, penambahbaikan bantuan itu dibuat dengan mengambil kira tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global khususnya gangguan bekalan petroleum antarabangsa yang menyebabkan harga diesel bertapis melonjak sehingga AS$250 setong, hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memahami impak langsung kenaikan kos terhadap rakyat.

“Keutamaan Kerajaan MADANI adalah jelas, iaitu untuk memastikan keterjaminan bekalan barangan asas kepada rakyat, susulan kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan global,” katanya.

Langkah segera itu melibatkan perbelanjaan tambahan termasuk sokongan kepada pengeluar makanan demi menjamin kelangsungan bekalan.

Antara strategi utama ialah peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026, daripada RM160 kepada RM300 sehektar yang melibatkan tambahan dana sekitar RM40 juta dan memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah padi.

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan Insentif Penuaian RM50 sehektar semusim serta meningkatkan bantuan tunai diesel melalui BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bermula April 2026.

Pembayaran akan disalurkan pada 21 April 2026.

Bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan, manakala 150,000 pemilik kenderaan diesel individu akan menerima manfaat dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan.

Secara keseluruhan, Kementerian Kewangan dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion bagi April 2026 termasuk dana tambahan RM75 juta untuk ketiga-tiga bentuk bantuan diesel.

Kerajaan turut melonggarkan syarat pembelian diesel melebihi 20 liter dengan hanya memerlukan pendaftaran jentera pertanian, sekali gus memudahkan pemilik mesin dan jentera.

“Kerajaan MADANI melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan terkini di Asia Barat serta impaknya kepada Malaysia dan bersedia mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membantu golongan rakyat yang terkesan serta menstabilkan ekonomi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat