Bantuan RM150 Untuk Setiap Pelajar: SAR, Tahfiz Dan SJKC Turut Terima Peruntukan

PUTRAJAYA: Inisiatif bantuan sosial dan pendidikan kekal sebagai tumpuan utama kerajaan dalam Amanat Tahun 2026, yang disampaikan semasa Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Isnin.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Awal Prasekolah dan Kembali ke Sekolah bernilai RM150 bagi setiap pelajar dari prasekolah hingga Tingkatan Enam dengan jumlah keseluruhan RM800 juta.

Beliau menekankan syarat bahawa ibu bapa mesti hadir ke sekolah untuk menerima bantuan tersebut bagi memastikan wang digunakan untuk keperluan anak serta memberi peluang kepada ibu bapa mendengar laporan guru mengenai perkembangan anak.

“Ibu bapa harus pergi ke sekolah sebab kadang-kadang ibu bapa nak kena pastikan wang itu dibelanja untuk anak dan keduanya dia kena dengar daripada guru masalah anak,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM200 juta bagi Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Maahad Tahfiz yang melibatkan lebih 300,000 pelajar.

Dana tersebut bertujuan memperbaiki kemudahan, kurikulum serta meningkatkan mutu guru.

“Walaupun ia tidak termasuk dalam skim sekolah ikut dasar pelajaran kebangsaan tetapi ratusan ribu lebih, 300,000 pelajar di sekolah agama rakyat ini.

“Jadi kita sekarang minta Jakim terus hubung dengan sekolah ini baiki kurikulum mutu pelajaran mutu guru-guru biar lebih terlatih dan kita sediakan dana untuk perbaiki kemudahan di sekolah-sekolah ini,” katanya lagi.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) turut menerima kenaikan peruntukan daripada RM50 juta kepada RM80 juta, manakala sekolah Tamil mendapat RM50 juta untuk memperbaiki kemudahan yang daif.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan beberapa bentuk bantuan kewangan lain kepada rakyat.

Antaranya ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan sehingga RM200 yang akan dikreditkan ke MyKad secara berperingkat bermula 9 Januari 2026, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 sehingga RM500 bermula 20 Januari serta bantuan tunai RM100 kepada 22 juta rakyat berumur 18 tahun ke atas pada 9 Februari 2026.

Bantuan itu bertujuan membantu persiapan Ramadan dan Tahun Baru Cina.

“Tahun ini untuk semua rakyat, RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas.

“Kita kreditkan pada 9 Februari 2026 ini dengan maksud persiapan Ramadhan dan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Anda Mungkin Berminat