PUTRAJAYA: Kerajaan akan meningkatkan jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada 5.4 juta individu mulai 1 April ini, melonjak hampir lapan kali ganda daripada 700,000 penerima sebelum ini.
Mereka yang layak akan menerima bantuan sehingga RM2,100 sepanjang tahun ini, berbanding RM1,200 pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 75 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata program ini merupakan langkah bersasar kerajaan dalam menyalurkan hasil negara serta penjimatan subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Melalui penggunaan MyKad, bantuan Sara dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam bentuk barangan keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan.
Peningkatan jumlah penerima ini turut sejajar dengan peruntukan Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara yang dinaikkan kepada RM13 bilion pada 2025—angka tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan.
Bantuan akan dikreditkan setiap bulan terus ke dalam MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), daripada 5.4 juta penerima, 700,000 merupakan penerima sedia ada dalam rekod eKasih yang menerima bantuan sejak Januari lalu. Bermula 1 April, mereka akan mendapat tambahan RM50 sebulan bagi warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan bagi isi rumah.
Selain itu, seramai 4.7 juta penerima STR yang tidak berada dalam rekod eKasih turut layak menerima bantuan Sara buat kali pertama pada kadar yang sama.
Tahun ini, pelaksanaan Sara melalui MyKad turut diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan, berbanding sebelum ini yang hanya melibatkan negeri di Semenanjung.
Penerima boleh menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas di lebih 3,500 kedai runcit berdaftar di seluruh negara – berbanding hanya 700 kedai pada 2024 – sebagai sebahagian daripada usaha menambah baik program ini.
Baca juga: