KOTA TINGGI: Polis Daerah Kota Tinggi membuka siasatan berhubung insiden sebuah bas yang didakwa menghalang laluan ambulans di Jalan Johor Bahru–Mersing berhampiran Kem Pulada menuju ke Bandar Kota Tinggi.
Menurut kenyataan rasmi Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Yusof Othman, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mengesan kejadian itu selepas satu video dimuat naik oleh akaun Utusan Melayu Plus di Instagram.
“Siasatan dijalankan mengikut kaedah Rule 9(2) LN 166/59.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut diminta untuk berhubung dengan Pegawai Penguatkuasa Trafik Insp Amirul Mustakim bin Mustaza di talian 0174793329 bagi mengesan pemandu yang terlibat,” kata kenyataan itu.
Beliau berkata, Rule 9(2) LN 166/59 memperuntukkan kesalahan tidak memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, bomba, polis dan kastam dengan denda sehingga RM300 bagi pesalah.
“Polis IPD Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalanraya,” tegas Yusof.








