‘Bebas Bersuara Bukan Bererti Bebas Mencarut’ – Fahmi Zainol

PETALING JAYA: Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Fahmi Zainol menegur keras tindakan segelintir pihak yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah dalam menyuarakan pendapat.

Dalam satu kenyataan tegas, Fahmi menekankan bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kebebasan untuk mencarut atau melucah.

“Bebas bersuara bukan berertinya bebas melucah. Bebas bersuara bukan beertinya bebas mencarut,” katanya.

Beliau turut menyelar tindakan segelintir mahasiswa yang menggunakan bahasa kesat dalam menyampaikan mesej dan menyifatkannya sebagai mencemarkan semangat intelektual dan nilai keilmuan yang sepatutnya menjadi asas perjuangan.

“Nak berpiket? Berpiketlah, bukannya mencarut, bukannya melucah.

“Berpidatolah dengan penuh semangat intelektual, berucaplah dengan penuh keilmuan, bersyarahlah seperti cendiakawan,” tegasnya.

Fahmi yang juga Exco Pulau Pinang turut menyatakan kekecewaannya terhadap ucapan awam yang semakin hilang arah apabila dipenuhi dengan carutan dan bukannya fakta.

“Kalau beginilah caranya, buang masa saja ajak berdebat, berdiskusi, berpidato atau bersemuka.

“Nanti jumpa isinya penuh dengan carutan, bukannya penuh dengan fakta,” katanya lagi.

Beliau menutup kenyataan dengan sindiran tajam terhadap mereka yang cuba menyamakan diri dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Satu lagi perkara, tak perlulah bandingkan ‘Anwar Ibrahim’ dengan anda. Jauh beza langit dengan bumi,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat