KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan wang tunai berjumlah 20,000 dolar Amerika Syarikat (AS) serta RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan isterinya.
Tertuduh, Datuk Mohd Razali Alias, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya dari kandang tertuduh, seperti dipetik berita tempatan.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Razali didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai berjumlah 20,000 dolar AS daripada seorang pengarah syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan bagi tujuan pembayaran Perolehan Perkhidmatan Senggaraan serta Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, di sini, antara Ogos hingga November 2024.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Razali didakwa menerima masing-masing RM26,800 dan RM37,800 daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan pembelian tiket penerbangan pergi dan balik isterinya.
Penerbangan tersebut melibatkan laluan Kuala Lumpur–Malaga, Sepanyol serta Kuala Lumpur–Estonia.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di lokasi sama masing-masing pada 15 November 2024 dan 28 April 2025.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Baca juga:








