PETALING JAYA: Bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, ditahan polis awal pagi ini susulan soalan kontroversi yang dikemukakannya dalam sebuah wacana awam pada Isnin lalu.
Tan, 31, yang meletakkan jawatan daripada FMT semalam, ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Peguamnya, Rajsurian Pillai mengesahkan penahanan tersebut dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, dengan siasatan difahamkan dikendalikan oleh Bukit Aman, lapor Malaysiakini.
Wacana berjudul “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” itu menampilkan ahli politik Britain, George Galloway sebagai panel.
Dalam kenyataannya, Tan mengakui kesilapannya dan menzahirkan kekesalan kerana menyentuh isu hubungan kaum Cina dan Melayu, yang menurutnya tidak perlu dibangkitkan.
“Paling saya kesali ialah tindakan menyentuh soal hubungan kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang sama sekali tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Beliau turut mengakui gagal memenuhi tahap profesionalisme yang diharapkan daripada seorang wartawan serta merayu orang ramai supaya tidak menyerang FMT Media dan ahli keluarganya.
Tan juga menjelaskan bahawa beliau tidak menggunakan istilah “apartheid” dan tidak pernah berniat untuk menyamakan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin.
“Perkara ini telah saya jelaskan apabila diberi peluang kedua untuk bercakap, di mana saya menyatakan bahawa saya sama sekali tidak berniat membandingkan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin, dan mengakui perbandingan sedemikian tidak masuk akal,” katanya.
Mengulas penahanan itu, Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran berkata, meskipun Tan telah melakukan kesilapan, tindakan menahan beliau adalah keterlaluan.
Menurutnya, Tan telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan siasatan dan penahanan tersebut tidak diperlukan, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai melampau serta bersifat menghukum.
Sebelum ini, Majlis Media Malaysia turut mengecam perbuatan doxing, gangguan dan ugutan terhadap wartawan susulan kontroversi melibatkan Tan.
FMT juga telah mengeluarkan permohonan maaf dan menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengetahui niat wartawan berkenaan untuk mengemukakan soalan tersebut serta tidak menyokong kenyataan yang dibuat.
Baca juga:








