Belanjawan 2026 Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyambut baik Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tumpuan besar kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata, peruntukan RM6.87 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), meningkat 7 peratus berbanding tahun lalu, membuktikan komitmen Kerajaan MADANI memastikan bekalan makanan negara terus mencukupi, selamat dan mampu milik.

“Antara inisiatif utama termasuk RM2.62 bilion bagi subsidi dan insentif pesawah, termasuk kenaikan kadar insentif serta tambahan Insentif Penuaian Padi. Turut diperuntukkan, RM55 juta untuk pengusaha buah-buahan tempatan seperti nanas, jambu air dan limau bali,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Selain itu, ujarnya elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan dan pemberian diesel bersubsidi akan dikekalkan bagi membantu golongan nelayan menghadapi kos operasi yang semakin meningkat.

Projek utama seperti Pemindahan Air Jeniang dan Sistem Pengairan Tersier MADA turut diteruskan bagi menyokong pelaksanaan lima musim penanaman padi dalam tempoh dua tahun.

Dalam masa sama, RM1.1 bilion pembiayaan melalui Agrobank disediakan bagi membantu usahawan tani mengembangkan perniagaan serta menggalakkan penggunaan teknologi dan automasi dalam pertanian.

Menurut Mohamad, Belanjawan 2026 diyakini akan memperkukuh keterjaminan makanan negara, menjamin kesejahteraan petani dan nelayan serta menjadikan sektor pertanian Malaysia lebih moden, mampan dan berdaya saing selaras dengan matlamat Malaysia MADANI.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat