Oleh: Tyah Helmi
PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja mendengar keputusan oleh Mahkamah Rayuan hari ini bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya dilepas dan dibebaskan daripada hukuman penjara 7 tahun dan dua sebatan berkait empat pertuduhan dana Armada.
Ketika ditemui media hari ini, Bella menzahirkan rasa bersyukur yang tidak terhingga di atas keputusan yang disifatkannya sebagai momen yang menggembirakan bukan sahaja buat dirinya tetapi juga kepada seluruh keluarga dan penyokong Syed Saddiq.
Bella mengakui bahawa air matanya yang bergenang itu merupakan simbolik air mata kegembiraan buat Syed Saddiq.
“Semestinya, air mata gembira, rata-rata orang mendoakan untuk yang terbaik supaya YB dilepaskan dan Alhamdulillah,” katanya.
Semasa ditanya, bagaimana debaran sehari sebelum Syed Saddiq hadir prosiding di Mahkamah hari ini, Bella hanya menjawab ringkas bahawa beliau tidak bertanya mengenai hal itu amat menghormati segala apa yang diputuskan dan dikongsikan oleh wakil rakyat daerah Muar itu.
“Saya tak banyak berkongsi… saya hormat semua keputusan, tapi macam Bella cakap tadi, Bella happy sangat dengan keputusan hari ini.” ujarnya.
Tanpa jemu Bella menjawab ketika ditanya pemberita mengenai Syed Saddiq menyifatkannya sebagai wanita luar biasa, Bella hanya tersenyum dan berkata.
“Ya Alhamdulillah….,” jawab Bella.
Menurut Bella, sejurus sahaja mengetahui keputusan Mahkamah sepenuhnya berpihak kepada Syed Saddiq, perkataan pertama yang muncul daripada bibirnya adalah “Syukur, Alhamdulillah,”
Pada masa sama, Bella turut menyifatkan Syed Saddiq seorang yang jujur, ikhlas dan berani sepanjang dirinya dibelenggu empat pertuduhan terbabit selama lima tahun itu.
“Syed Saddiq merupakan insan yang jujur ikhlas dan berani, membuat semua benda dengan ikhlas serta bersungguh-sungguh.
“Ini merupakan balasan baik atas benda yang Syed Saddiq buat selama ini,” ujarnya dalam nada gembira.
Menjawab pertanyaan samada kemenangan itu bakal membawa kepada seterusnya yakni pertunangan dalam hubungan mereka, Bella hanya terseyum dan menjawab.
“Fokus untuk kerja dulu,” jawab Bella ringkas sebelum mengakhiri sesi temu bual bersama barisan pemberita dihadapan Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.
Baca juga: