Berbeza ideologi bukan alasan permain takbir raya – Timbalan Menteri Agama

PETALING JAYA: Tidak wajar mana-mana pihak mempermainkan takbir raya atas nama gurauan atau semata-mata kerana perbezaan sokongan ideologi politik kepartian, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Hasan.

Beliau merujuk beberapa video yang menggunakan rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang sengaja disunting audionya – agar kedengaran perlahan (slow motion) dan dijadikan bahan gurauan.

“Bukan semua perkara perlu dibangkang, bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal.

“Takbir Raya adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala atas segala nikmat-Nya.

“Melaungkan Takbir Raya sewajarnya dilihat dari aspek penghayatan dan simbolik keindahan amalan tersebut – bukan sejauh mana kemerduan atau kelunakan suara sesiapa juga yang melakukannya,” katanya menerusi Facebook pada Khamis.

Tambah Dr Zulkifli lagi, tindakan segelintir pihak mengritik tanpa fakta seharusnya dihentikan. 

“Berbeza pandangan tidak salah; namun jangan sampai tahap menghina, mengaib dan memfitnah, apalagi dengan perkara berkait kesucian nama Allah Subhanahu wa-Ta’ala serta ketinggan Islam sebagai agama yang kita semua cintai.

“Jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bicaralah dengan hujah yang benar – dan dikaji secara bersungguh.

“Bertaqwalah – kerana Allah tidak melihat selucu atau setular mana bahan kandungan yang kita muat naik ke media sosial kita – sebaliknya iman dan taqwa kita yang menjadi pengukur amalan di Akhirat kelak,” katanya. 

Anda Mungkin Berminat