Hadir pengebumian Pope Francis, tapi sokong kekejaman Gaza, hipokrit – Mat Sabu

PETALING JAYA: Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru pemimpin dunia supaya lebih konsisten dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan, khususnya berhubung konflik di Gaza.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menzahirkan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pemimpin dunia yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Pope Francis, namun pada masa sama didakwa terus menyokong atau berdiam diri terhadap kekejaman yang berlaku ke atas rakyat Palestin.

“Mereka hadir memberikan penghormatan kepada seorang pemimpin agama yang lantang menentang kezaliman di Gaza, tetapi dalam masa yang sama terus menyokong atau membisu terhadap kekejaman yang sama.

“Malah, mereka berdiri di situ dengan wajah penuh hormat seolah-olah turut berkongsi nilai perjuangan kemanusiaan yang didokong oleh Pope Francis sepanjang hayatnya. Ironi, itulah kata yang tepat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Menurut Mohamad, tindakan itu menunjukkan satu bentuk ironi dan mencerminkan ketidakselarasan antara penghormatan terhadap prinsip kemanusiaan yang diperjuangkan oleh Pope Francis dan pendirian sebenar mereka terhadap penindasan yang berlaku.

“Inilah wajah sebenar hipokrasi pemimpin-pemimpin utama dunia,” katanya sambil menegaskan bahawa AMANAH berpegang teguh kepada pendirian bahawa perjuangan menentang kekejaman Zionis bukanlah soal agama semata-mata, sebaliknya adalah isu kemanusiaan sejagat.

Tambah beliau, dunia seharusnya mendengar seruan Pope Francis agar kekejaman ke atas rakyat Palestin dihentikan segera.

“Malangnya, pemimpin dunia lebih takut kehilangan kuasa politik berbanding mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat