MA63: Sentimen rakyat Sabah difahami dan terus terpelihara

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peningkatan Pemberian Khas Interim Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion adalah bagi memastikan negeri itu menerima hak pembangunan sewajarnya.

Menurutnya, kerajaan memahami sentimen rakyat Sabah yang mahukan pembangunan lebih adil serta pelaksanaan hak-hak negeri yang termaktub dalam MA63.

“Saya memahami sentimen rakyat Sabah yang mahukan pembangunan yang lebih adil dan hak-hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dipelihara.

“Kerana itu saya tegaskan sekali lagi tekad Kerajaan MADANI untuk melaksanakan Pemberian Khas Sabah berasaskan 40 peratus hasil seperti yang diperuntukkan dalam MA63,” katanya ketika menghadiri sambutan Pesta Kaamatan di Penampang, pada Ahad.

Anwar berkata, sambutan Kaamatan bukan sekadar perayaan tradisi, sebaliknya mencerminkan kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya memelihara keharmonian dalam masyarakat majmuk.

Beliau yang menghadiri majlis perasmian Kaamatan buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri turut melahirkan rasa teruja dengan sambutan meriah yang diberikan rakyat Sabah, termasuk persembahan tarian etnik dan semangat perpaduan yang dipamerkan oleh masyarakat pelbagai kaum.

Menurut beliau, Sabah kini semakin menyerlah sebagai antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara dengan peningkatan pelaburan, perkembangan sektor pelancongan serta pembangunan prasarana yang semakin rancak.

“Perkembangan ini membuktikan Sabah mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada pembangunan masa depan Malaysia,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat