KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan geran khas interim kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut hanyalah pemberian interim memandangkan rundingan berhubung jumlah sebenar yang perlu dibayar berdasarkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah masih belum dimuktamadkan.
Menurut beliau, kerajaan komited untuk melaksanakan janji berkaitan tuntutan tersebut dan tidak mahu isu berkenaan terus dipertikaikan.
“Soal 40 peratus hasil Sabah, walaupun ada yang membangkitkan keadaan kewangan dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, bagi saya perkara itu harus diselesaikan. Jangan ada pihak mempertikai keputusan kerajaan untuk melaksanakan janji ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, seperti dipetik berita tempatan.
Anwar berkata, keputusan berkaitan kaedah pembayaran sama ada dilaksanakan pada Jun atau Disember akan ditentukan menerusi perbincangan melibatkan kedua-dua jawatankuasa berkaitan sebelum dibawa ke peringkat tertinggi kerajaan negeri dan dirundingkan bersama Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan penyelesaian yang dicapai mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak serta memenuhi semangat yang terkandung dalam MA63.
Baca juga:








