Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bersatu Negeri Sembilan menyifatkan bahawa Chegubard adalah seorang pengkhianat kepada perjuangan parti mereka.
Menerusi kenyataan media pada Jumaat, Bersatu Negeri Sembilan memaklumkan bahawa Chegubard atau nama sebenar, Badrul Hisham Shaharin tidak lagi fokus dalam memperkukuh jalinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Malah katanya, Chegubard dilihat telah mencetuskan kekacauan dalaman serta mencalar kepimpinan parti itu secara terbuka.
“Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan memandang serius kenyataan-kenyataan dan sidang media berulang kali yang dibuat oleh Chegubard, yang secara terbuka menghentam presiden dan parti sendiri.
“Perbuatan sedemikian adalah amat tidak beradab, tidak berdisiplin dan bercanggah sama sekali dengan adab perjuangan parti, selain jelas merosakkan imej serta kestabilan organisasi,” katanya.
Jelas mereka, tindakan Chegubard yang sering mengeluarkan kenyataan berbaur sebegitu tidak lagi boleh dianggap sebagai perbezaan pandangan yang sihat, sebaliknya menunjukkan niat yang nyata untuk memporak-perandakan parti dari dalam.
Katanya, ketika mana ketua-ketua bahagian dan ahli-ahli Bersatu di Negeri Sembilan sedang berhempas pulas hadir ke lapangan, bekerja keras mendekati rakyat, mengukuhkan jentera serta memenangi semula kepercayaan mereka, Chegubard dilihat lebih memilih untuk terus menyerang parti dan presiden, sekali gus melemahkan usaha kolektif yang sedang digerakkan di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, Badan Pimpinan Negeri Bersatu Negeri Sembilan bersama tujuh lagi Ketua Bahagian yang lain menegaskan bahawa fokus utama parti pada ketika ini adalah untuk memperkukuh peranan sebagai pembangkang yang kuat, berprinsip dan berkesan.
“Serta berperanan dalam menegur serta melawan kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, demi mempertahankan kepentingan rakyat dan negara, bukannya melayan polemik dalaman yang disengajakan untuk melemahkan parti sendiri,” tegasnya.
Justeru, Bersatu Negeri Sembilan tampil menggesa kepimpinan tertinggi parti agar mengambil tindakan disiplin yang tegas dan menyeluruh terhadap mana-mana individu, termasuk Chegubard, yang mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang memburukkan imej parti, menjejaskan keyakinan rakyat dan menggugat kesatuan dalaman.
“Bersatu Negeri Sembilan kekal komited mempertahankan kepimpinan parti, memperkukuh jentera akar umbi dan menumpukan sepenuh tenaga untuk berhadapan dengan musuh sebenar iaitu kerajaan yang gagal menunaikan harapan rakyat,” katanya.








