PETALING JAYA: UMNO menggesa BERSATU untuk mengadakan perbincangan rasmi jika parti itu ingin menjalin kerjasama atau menyertai kembali UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perbincangan itu perlu dijalankan secara rasmi dengan mengemukakan surat permohonan kepada UMNO agar dapat dibincangkan dalam mesyuarat MKT.
“Tidak ada perbincangan rasmi di peringkat MKT berkenaan dengan cadangan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, baru-baru ini. Isu ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO sebelum ini,” katanya, dipetik portal berita tempatan.
Ahmad menambah, perkara penting seperti ini perlu dibincangkan di peringkat MKT UMNO dan tidak hanya dibangkitkan melalui media.

“Jika BERSATU mahu bekerjasama dengan UMNO atau kembali menyertai parti ini, mereka perlu mengemukakan permohonan rasmi. Hanya selepas itu perbincangan rasmi dapat dijalankan,” tambahnya.
Beliau turut mengulas kenyataan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, yang mencadangkan agar BERSATU membubarkan parti mereka dan kembali semula ke dalam UMNO.
Ahmad menyatakan bahawa perkara tersebut tidak mustahil kerana ia pernah berlaku dengan Semangat 46 pada tahun 1996, di mana parti tersebut dibubarkan dan anggotanya diterima semula ke dalam UMNO.
“Sama ada BERSATU mahu melakukan perkara yang sama atau tidak, itu akan dibincangkan dalam MKT. Yang penting adalah perbincangan rasmi. Jangan hanya bangkitkan perkara ini melalui media,” katanya.
Baca juga: