Bersatu Tanggung Kos PN, Sumbang Dana Besar Kepada Pas – Dr Marzuki

PUTRAJAYA: Bekas ketua setiausaha sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Marzuki Mohamad, mendedahkan bahawa sebahagian besar perbelanjaan pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 lalu sebenarnya ditanggung oleh Bersatu.

Menurutnya, walaupun Pas ketika itu mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah parti dengan menguasai 43 kerusi parlimen, sebahagian besar kelancaran jentera kempen mereka bergantung kepada bantuan kewangan dan logistik daripada Bersatu.

“Semasa PRU-15, Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan pilihan raya. Apabila mereka bertanding menggunakan logo PN, semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.

“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada Pas,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Marzuki menambah, anggaran kos minimum untuk menggerakkan kempen pilihan raya di sebuah kerusi parlimen ialah sekitar RM1 juta, namun jumlah tersebut boleh meningkat bergantung kepada bilangan pengundi, keluasan kawasan dan kos logistik, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Katanya, perbelanjaan itu merangkumi cetakan bahan kempen seperti bendera, poster, papan iklan, serta kos elaun jentera pilihan raya termasuk polling agent dan counting agent (PACA), sewaan bilik gerakan, pengangkutan pengundi, selain iklan media sosial dan media massa.

Beliau menegaskan, tanpa sokongan logistik dan dana yang besar, mustahil sesebuah parti dapat berfungsi dengan baik di medan pilihan raya moden.

Kenyataan ini hadir ketika hubungan antara Pas dan Bersatu dalam PN terus diperkatakan, termasuk isu pembahagian kerusi dan kedudukan kewangan gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam ucapan di muktamar Pas baru- baru ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor berkata dalam pilihan raya yang lalu semua perbelanjaan dan jentera diusaha dan ditanggung parti itu. Tetapi ada pihak dalam PN berebut nak jadi ketua.

Ucapan berbaur sindiran ini didakwa di tujukan kepada Bersatu yang menjadi sekutu rapat dalam barisan pembangkang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat