Oleh: Aliyaa Azmi
DRAMA bersiri tempatan ‘Bidaah’ karya terbitan Erma Fatima mencetus fenomena di Indonesia selepas berjaya meraih jutaan tontonan di platform penstriman Viu.
Lebih menarik, watak Walid Muhammad lakonan mantap Faizal Hussein menjadi sorotan utama penonton Indonesia apabila rata-ratanya berkongsi ulasan penuh emosi dan reaksi terkejut di TikTok serta media sosial lain.
“Pejamkan Mata, Bayangkan Muka Walid”
Salah satu babak paling ikonik dalam siri Bidaah yang mencetuskan fenomena di media sosial Indonesia ialah ketika watak Walid Muhammad Mahdi Ilman, lakonan mantap Faizal Hussein, mengucapkan ayat penuh kontroversi: “Pejamkan mata, bayangkan muka Walid.”
Adegan itu terjadi apabila sekumpulan wanita dalam kumpulan ajaran sesat “Jihad Ummah” menyatakan hasrat untuk melihat malaikat. Namun, Walid dengan penuh keyakinan meminta mereka memejamkan mata dan membayangkan wajahnya — seolah-olah mewakili malaikat itu sendiri.
Dialog berkenaan kemudiannya menjadi tular sehingga diangkat sebagai meme, parodi dan ‘inside joke’ dalam kalangan pengguna TikTok di Indonesia dan Malaysia. Banyak pencipta kandungan turut menghasilkan semula adegan itu dalam pelbagai versi kelakar dan sinis.
Ramai netizen Indonesia turut meluahkan rasa terhibur dan pada masa sama, ngeri dengan betapa kuatnya pengaruh watak Walid yang disamakan oleh sesetengah pengguna sebagai pemimpin ‘cult’. Fenomena ini sekaligus melonjakkan populariti siri Bidaah di Indonesia, meskipun ia merupakan produksi tempatan dari Malaysia.
“Seperti ajaran sesat benaran. Merinding nontonnya,” komen seorang pengguna TikTok Indonesia yang mengakui plot siri berkenaan terasa dekat dengan realiti masyarakat di sana.
Malah, ada yang menyamakan siri itu dengan dokumentari ajaran sesat sebenar kerana keberaniannya menyentuh isu kontroversi seperti penyelewengan agama, kahwin paksa dan ketaatan membuta tuli terhadap pemimpin.
Episod Akhir ‘Bidaah’ Terus Jadi Bualan
Walaupun episod akhirnya ditayangkan pada 5 April lalu, Bidaah masih kekal hangat di bibir penonton – khususnya dari Indonesia yang menjadi antara penyumbang utama gelombang tular siri ini.
Kesemua episod Bidaah kini boleh distrim secara penuh di platform Viu.
Baca juga: