Oleh: Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff
ULASAN | Mengapa kita mudah ditipu Zionis? Kerana kita sombong dan tidak mahu menerima fakta. Bila kita dengan mudah memegang apa yang kita suka tengok dan dengar, bukannya apa yang boleh dibuktikan, kita sudah menghulurkan tengkok kita untuk disembelih secara mudah.
Kajian kes yang mudah ialah misteri sama ada Malaysia ni pengimpot atau pengekspot bersih minyak. Sebenarnya ianya bukan satu misteri pun. Jika kita merujuk kepada maklumat dari Petronas, ternyata kita adalah negara pengimpot bersih. Ini pula boleh disemak silang dengan data-data pihak bebas seperti International Energy Agency (IEA) misalnya.
Jadi, mengapa fakta mudah ini menjadi misteri termasuk kepada bijak pandai yang bersekolah di sekolah-sekolah tinggi yang bagus-bagus? Di sinilah kejujuran dan keikhlasan memainkan peranan.

Dari pengalaman saya, ada pihak yang mencari keuntungan melalui naratif-naratif yang mereka bawa dan sebarkan. Sekiranya data dan fakta yang ada berlawanan dengan naratif yang menguntungkan mereka, mereka tiba-tiba keliru dan sukar nak memahami apa yang jelas di hadapan mata.
Saya pernah bekalkan berkotak-kotak maklumat kepada seorang hamba Allah untuk membuktikan kenyataan saya. Hamba Allah untuk dengan mudah menolak hujah saya dengan satu alasan “Ini tak kena dengan naratif kami”. Habis cerita macam tu sahaja.
Menerima hakikat bahawa Malaysia adalah pengimpot minyak secara bersih akan mematahkan pelbagai naratif yang dipelopori oleh sesetengah pihak. Jadi, pelbagai alasan dibawa untuk cuba membuktikan bahawa yang sebaliknya pula adalah sahih.
Ini bukannya fenomena baharu. Firaun dahulu menjual naratif bahawa dia adalah tuhan. Apabila Nabi Musa AS bertarung dengan ahli-ahli sihir Firaun dan menang, Firaun menolak hakikat kebenaran Nabi Musa walaupun ahli-ahli sihir Firaun beriman. Mereka akhirnya dibunuh oleh Firaun demi untuk menegakkan naratif songsang yang dipertahankannya.

Apabila kita lari dari data dan fakta, mudahlah kita ditipu oleh pelbagai pihak termasuklah Zionis yang kita kata kita benci itu. Pendedahan fail-fail Epstein di Amerika menunjukkan bertapa liciknya mereka. Malah, minda masyarakat dunia cuba dibentuk dengan mempercayai naratif mereka melalui pelbagai media perdana dan sosial yang mereka kuasai.
Perangai bermudah-mudah memperpanjangkan mesej-mesej yang belum tentu sahih tetapi kena dengan nafsu dan emosi kita melalui pelbagai platfom komunikasi adalah tanda-tanda kita ni mudah terpedaya. Allah suruh kita semak dahulu (tabayyun), kita pula tularkan kerana naratifnya kita suka. Pernah buat tak?
Agama kita adalah agama hujah, bukannya bergantung kepada khayalan dan kumpulan. Sekiranya kita melepaskan asas utama ini, senanglah kita menjadi lauk orang lain.
***Penulis adalah ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan pernah menjawat jawatan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji
Baca juga:








