KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras, semalam dan menemui sebuah bilik rahsia dipercayai digunakan untuk menyimpan senjata serta pelbagai aset mewah.
Menurut SPRM, serbuan oleh Bahagian Siasatan bersama Pasukan Taktikal Khas (ACTS) itu dilakukan susulan siasatan kes penyelewengan dana sukuk bagi projek lebuh raya di Lembah Klang.
“Pasukan ACTS digerakkan bagi memastikan keselamatan anggota SPRM kerana dipercayai wujud bilik rahsia yang menyimpan barangan berharga dan senjata api,” jelas SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah 84 beg tangan mewah bernilai RM3 juta, 11 jam berjenama bernilai RM1 juta, jongkong dan syiling emas bernilai RM3 juta, serta berlian dan barang kemas dianggarkan RM4 juta.
SPRM juga menemui satu set lengkap peralatan kasino berjenama mewah bernilai RM150,000.
Hasil penggeledahan turut menemui bilik kebal khas menyimpan senjata dan peluru. Bagaimanapun, tiada rampasan dibuat terhadap senjata kerana ia didaftarkan di bawah syarikat keselamatan milik individu terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan keseluruhan aset yang disita bernilai RM16 juta dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan susulan.
Rakaman keterangan individu berkenaan akan ditetapkan pada tarikh baharu.
Baca juga: