PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhami Nasir berkata kerjasama antara BN-PH itu bukan bermakna menutup pintu rundingan dengan parti tempatan lain.
“(Ketua Umno Sabah) Datuk Seri Bung Moktar Radin maklumkan sebelum ini bahawa (kerjasama) BN-PH itu adalah kunci tetapi kita tidak menutup kepada parti-parti lain.
“Tapi tidaklah terbuka luas kepada semua parti,” katanya memetik Malaysiakini pada Khamis.
Suhaimi yang juga ahli parlimen Libaran berkata perbincangan setakat ini hanya melibatkan BN dan PH.
Rundingan juga termasuk jumlah kerusi yang akan ditandingi sekiranya kerjasama itu terlaksana.
“Jadi, kita dah putuskan bahawa kita akan bertanding di 40 kerusi DUN, selebihnya adalah PH,’ katanya.
Dalam pada itu, mengenai kerjasama dengan GRS, Suhaimi berkata gabungan parti yang menerajui kerajaan Sabah itu ketika ini tidak menunjukkan sebarang kecenderungan ke arah itu.
“Memang ada (perbincangan antara BN-GRS) sebelum ini, kita ada berbincang tetapi memang tak jadi. Tak sampai 50-50 pun.
“Dan sebab itu kita fokus pada BN-PH dan kita dah kunci dah (kerjasama) dan mungkin dengan parti-parti yang berminat,” katanya.
Suhaimi juga menyatakan kebimbangan akan timbul pertindihan kerusi sekiranya BN menjalinkan kerjasama dengan GRS.
Katanya, isu pertindihan kerusi itu bukan hanya membabitkan beberapa kerusi DUN tetapi hampir keseluruhan.
“Contohnya Dalit, (Tanjung) Keramat, Tawau dan Balung, kita bertindih. Terlalu banyak (sebenarnya).
“Isu ini waktu kita tanding (atas tiket) BN, kita menang tapi lompat pergi sana (parti lain). Begitu juga yang ada di GRS sekarang, kebanyakan kerusi yang lompat dari Warisan (Parti Warisan Sabah)… lompat pergi sana dan membentuk jadi kerajaan.
“Sampai sekarang rakyat Sabah, mereka tidak berkeyakinan dengan GRS sebab apa? Sebab GRS ini terbentuk semua dari kerusi yang lompat. Hampir semua (kerusi),” katanya.
Manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) katanya telah mengesahkan yang parti berkenaan sudah memutuskan untuk bergerak secara solo, namun membuka peluang jika parti itu mahu bekerjasama.
Baca juga: