BN Sokong Pembentukan Kerajaan Baharu Sabah

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengumumkan sokongan rasmi terhadap pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, demi menjamin kestabilan dan kesinambungan pembangunan negeri itu.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Menurut BN, PRN tersebut mencerminkan kematangan demokrasi di negeri berkenaan dan pihaknya menerima keputusan rakyat dengan penuh rasa hormat serta terbuka terhadap mandat yang diberikan.

“BN menghormati sepenuhnya keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Sabah dan menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka serta berlapang dada,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

BN turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera parti dari seluruh negara yang telah bertungkus lumus sejak hari pertama kempen sehingga ke saat akhir pengundian.

“Segala keringat, masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan oleh para jentera adalah lambang kesetiaan serta semangat perjuangan yang tinggi demi parti dan kepentingan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

Selaras dengan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 29 November lalu, BN turut mengesahkan kesediaan untuk bekerjasama serta menyokong pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu.

Sokongan itu dizahirkan atas semangat kerjasama politik demi memastikan Sabah terus berada pada landasan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta pembangunan yang mampan demi kesejahteraan rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat