PADAWAN: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan peluasan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di Sarawak dengan memasukkan bot-bot penumpang sebagai kategori baharu yang layak menerima subsidi petrol RON95.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dilaksanakan selepas kerajaan memberi kelulusan bermula 9 Oktober 2025, hasil permohonan daripada persatuan pengusaha bot penumpang di seluruh negara.
“Sehingga kini, sebanyak 29 syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah diluluskan di bawah SKPS, sekali gus membolehkan mereka mengakses bekalan petrol bersubsidi pada kadar RM2.05 seliter,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Beliau berkata, peluasan subsidi itu mengambil kira peranan penting pengangkutan air sebagai nadi perhubungan utama bagi komuniti setempat khususnya di kawasan pedalaman yang bergantung kepada bot penumpang sebagai pengangkutan harian.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi pengusaha bot, malah turut memastikan kadar tambang kekal berpatutan dan perkhidmatan pengangkutan awam air terus berdaya saing.
Dengan pelaksanaan itu, rakyat Sarawak yang bergantung kepada bot penumpang dijangka menikmati manfaat langsung daripada subsidi kerajaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memastikan kesejahteraan kos sara hidup rakyat di seluruh negara.








