PETALING JAYA: Kehebatan sesebuah tamadun bangsa sentiasa bertunjangkan tradisi ilmu yang kukuh, dan asas itu menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, harus bermula dengan budaya membaca.
Beliau berkata, kesedaran terhadap kepentingan membaca menuntut akses bahan bacaan ditingkatkan demi manfaat seluruh rakyat.
“Gagasan besar bagi melahirkan generasi berilmu diserlahkan lagi menerusi langkah Kerajaan MADANI meneruskan inisiatif baucar buku yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah menengah KPM dan penuntut di institusi pengajian tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Fadhlina turut berkata, Kerajaan MADANI memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta bagi penyediaan bahan bacaan berkualiti untuk anak-anak prasekolah.
Namun, beliau menekankan bahawa akses semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan ekosistem yang mantap.
Menurutnya, peranan pustakawan menjadi nadi penting dalam memastikan perpustakaan dan bahan bacaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik serta mudah diakses masyarakat.
“Pustakawan adalah kurator ilmu serta pakar literasi maklumat, kecerdasan buatan dan digital yang memudahkan pembelajaran seterusnya menghubungkan masyarakat dengan sumber ilmu yang sahih dan berwibawa,” ujarnya.








