PBAKL2026: Dr Zambry Seru IPT Perkasa Penerbitan Ilmiah Berkualiti

KUALA LUMPUR: Penerbitan ilmiah yang berkualiti merupakan pemangkin utama dalam memperluas akses masyarakat terhadap ilmu pengetahuan serta memperkukuh peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sebagai pusat penghasilan ilmu negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam lawatan beliau ke Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Dr Zambry menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran tersebut.

Beliau secara khusus merakamkan terima kasih kepada Pengerusi MAPIM, Prof Madya Dr Siti Rahmah Awang atas komitmen berterusan memastikan Pavilion MAPIM terus menjadi platform utama menghimpunkan penerbit universiti dari seluruh negara.

Zambry turut menghargai sokongan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) selaku penganjur PBAKL 2026 serta pengurusan WTCKL yang menyediakan ruang strategik bagi mengetengahkan hasil penerbitan ilmiah IPT.

“Kerjasama erat antara MAPIM, MBKM, WTCKL dan universiti-universiti telah membolehkan karya akademik tempatan dipamerkan secara lebih tersusun, mudah diakses serta mendapat pendedahan yang lebih meluas kepada masyarakat,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua universiti yang mengambil bahagian kerana berjaya mempamerkan hasil karya masing-masing, sekali gus memperlihatkan kekuatan serta kematangan ekosistem penerbitan akademik negara.

Dalam pada itu, beliau menyeru warga akademia supaya terus menghasilkan karya bermutu tinggi, berautoriti dan mempunyai nilai ilmu yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Penerbitan universiti tidak seharusnya terhad kepada komuniti akademik semata-mata, sebaliknya perlu turut berfungsi sebagai medium pemindahan ilmu yang berkesan kepada masyarakat umum melalui kandungan yang relevan dan mudah difahami,” katanya.

Dr Zambry berkata, universiti tempatan kini memiliki kekuatan keilmuan dan kepakaran yang sangat baik dalam pelbagai bidang, justeru potensi tersebut perlu diterjemahkan melalui penerbitan berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan keterlihatan sumbangan pendidikan tinggi negara.

Beliau turut berharap lebih banyak IPT swasta, universiti milik kerajaan negeri serta universiti berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyertai Pavilion MAPIM pada masa hadapan bagi memperluas agenda pengembangan ilmu negara.

Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh budaya ilmu, memartabatkan penerbitan akademik dan memperluas akses masyarakat kepada khazanah ilmu yang dihasilkan oleh IPT awam dan swasta.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, Mohd Khair Ngadiron; dan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Anda Mungkin Berminat