Budi MADANI RON95: Kerajaan Pertimbang Letak Polis Di Stesen Minyak Sempadan

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI sedang menimbang cadangan menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di stesen minyak khususnya di kawasan sempadan bagi memperkukuh keselamatan penggunaan manfaat Budi MADANI RON95.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan beberapa siri penahanan di stesen minyak berhampiran sempadan negara yang menunjukkan perlunya kawalan keselamatan lebih ketat.

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mengenai perkembangan ini dan kini sedang meneliti keperluan kehadiran anggota keselamatan bagi memastikan operasi stesen minyak berjalan lancar serta selamat,” katanya.

Dalam sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, Fahmi turut berkata, kerajaan sedang meneliti penggunaan sistem MYKASIH dan MYKAD sebagai mekanisme penyaluran subsidi termasuk subsidi diesel kepada rakyat Malaysia.

Ujarnya, mekanisme itu akan diperhalusi oleh Kementerian Kewangan sebelum dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk keputusan muktamad.

Beliau berkata, isu yang dihadapi golongan nelayan turut diberi perhatian khususnya berkaitan perbezaan harga diesel bersubsidi dan pulangan hasil tangkapan yang menjejaskan aktiviti perikanan di pesisir pantai mahupun laut dalam.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama KPDN telah diarahkan mengambil tindakan susulan bagi menangani cabaran tersebut.

“Orang ramai diminta mengikuti kenyataan lanjut daripada kementerian berkaitan bagi perkembangan terkini mengenai langkah-langkah yang akan dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat