BUDI95: Lebih 13 Juta Rakyat Nikmati Penjimatan RM800 Juta

PUTRAJAYA: Sebulan selepas pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), lebih 13 juta rakyat Malaysia menikmati penjimatan subsidi berjumlah RM800 juta hasil pemberian harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Kementerian Kewangan memaklumkan, sejak pelaksanaan BUDI95 pada 30 September lalu, seramai 16.55 juta rakyat telah diluluskan untuk menerima manfaat subsidi tersebut dengan melebihi unjuran awal sebanyak 15 juta penerima.

Sehingga 31 Oktober, sebanyak 13.1 juta penerima telah melakukan transaksi dengan jumlah perbelanjaan RM2.66 bilion, melibatkan pembelian 1.33 bilion liter RON95 bersubsidi. Turut menikmati manfaat ini ialah lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu aktif, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, BUDI95 membolehkan rakyat menerima subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit, sekali gus memastikan penjimatan kerajaan disalurkan semula kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” tambahnya lagi dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Di bawah BUDI95, semua pemegang MyKad berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak membeli hingga 300 liter RON95 bersubsidi sebulan, manakala had bagi pemandu e-hailing sepenuh masa digandakan kepada 600 liter sebulan yang memberi manfaat kepada hampir 58,000 pemandu.

Berdasarkan data Oktober, purata penggunaan bagi penerima persendirian hanyalah 98.2 liter sebulan, dengan kurang daripada 0.7 peratus penerima menggunakan sepenuhnya had bulanan mereka. Ini menunjukkan penggunaan yang terkawal dan efisien di kalangan rakyat.

Sebagai langkah tambahan, kerajaan akan memperkukuh pemantauan bagi mengelak penyelewengan termasuk pembelian petrol secara luar biasa berhampiran sempadan. Tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap mana-mana pihak yang menyelewengkan subsidi ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat