Bukit Tagar Jadi Tapak Strategik Penternakan Babi Moden

PETALING JAYA: Bukit Tagar, kawasan yang tidak berpenghuni kerana menempatkan tapak pelupusan sampah, dikenal pasti sebagai lokasi strategik oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan pusat penternakan babi moden berteknologi tinggi serta mesra alam.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pemilihan kawasan tersebut tidak menimbulkan isu penempatan mahupun sensitiviti kaum kerana tiada sesiapa yang sanggup tinggal di situ.

“Tidak timbul di situ kawasan orang Melayu atau kaum lain sedangkan tiada penempatan di kawasan tersebut.

“Perkara ini juga saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan Selangor dan baginda amat memahami perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat memahami keperluan menyediakan sumber makanan kepada masyarakat bukan Islam, memandangkan negeri ini berbilang kaum.

Beliau menegaskan, isu penternakan babi wajar dilihat secara adil dan rasional, bukan melalui sentimen semata-mata.

“Saya akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik serta menghormati titah dan kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan memberi petunjuk kepada kita semua dalam mencari jalan terbaik untuk rakyat dan negeri,” katanya.

Menurut Izham, langkah itu adalah sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang demi kesihatan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar, selari dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa isu pencemaran dan bau yang menghantui penduduk di Tanjung Sepat dan Kuala Langat akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk memindahkan keseluruhan 116 ladang babi dari kawasan terbabit ke pusat penternakan berpusat di Bukit Tagar.

Katanya lagi, komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat secara tuntas, meskipun berdepan kritikan keras.

“Ramai yang memaki hamun saya berkenaan perkara ini sehingga ada yang mengatakan saya ini diternak oleh tauke babi.

“Tak mengapa, saya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan ini sehabis baik.

“Selebihnya hanya Allah SWT yang mampu menilainya,” katanya.

Anda Mungkin Berminat