Buli UPNM: Lima pegawai kadet dibuang, kena bayar ganti rugi

KUALA LUMPUR: Lima Pegawai Kadet dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dikenakan tindakan tegas oleh Kementerian Pertahanan setelah didapati terlibat dalam tiga kes buli serius.

Antara tindakan yang diambil termasuk pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, penamatan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta bayaran ganti rugi kepada kerajaan.

Jumlah ganti rugi itu pula dikira berdasarkan kos perbelanjaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh pengajian mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan bahawa keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang pada Selasa.

“Tindakan yang dikenakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes pertama membabitkan Pegawai Kadet Muhammad Salman Mohd Saiful Surash yang mengalami kecederaan serius apabila dadanya ditekap dengan seterika oleh Pegawai Kadet Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan.

Susulan insiden itu, Amirul dibatalkan pelantikannya sebagai Pegawai Kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM, dan diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM44,600.20 kepada kerajaan.

Selain itu, Amirul turut dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November 2024, dan prosiding kes tersebut masih berjalan.

Kes kedua pula melibatkan penganiayaan terhadap Pegawai Kadet Alief Ahsreihan Ahslemy oleh tiga rakan seangkatan, iaitu Pegawai Kadet Izzat Izuddin, Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan, dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi.

Ketiga-tiga mereka dikesan telah melakukan pelbagai bentuk penganiayaan, termasuk memaksa mangsa menjalani hukuman pembetulan yang salah, mengarahkan mangsa melakukan kerja-kerja peribadi, melakukan tindakan fizikal yang tidak wajar, serta melakukan pengasingan yang menyebabkan tekanan emosi kepada mangsa.

Kes ini terbongkar apabila Ketua Kompeni menerima maklumat awal daripada seorang pensyarah di UPNM.

Sebagai tindakan, pelantikan mereka sebagai Pegawai Kadet dibatalkan, perkhidmatan dalam ATM ditamatkan, dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi sebanyak RM48,452.75, RM19,481.70, dan RM44,600.20 kepada kerajaan.

Kes ketiga membabitkan penganiayaan terhadap Pegawai Kadet Yeong Kian Rui oleh Pegawai Kadet Ammar Hafiy Muhammad Habib.

Insiden ini terdedah selepas jurulatih merasa curiga apabila mangsa meminta rawatan perubatan.

Siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian bawah belakang akibat trauma.

Akibat perbuatannya, Ammar Hafiy dibatalkan pelantikannya sebagai Pegawai Kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM, dan diarahkan membayar ganti rugi kepada kerajaan sebanyak RM32,115.95.

Khaled Nordin menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan yang berlaku di mana-mana institusi ketenteraan.

Beliau turut menyatakan bahawa kementerian komited untuk terus menambah baik mekanisme pencegahan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

“Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.

Kementerian Pertahanan turut berharap agar keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan yang sepatutnya diamalkan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat