Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kebocoran dokumen sulit berkaitan pelantikan kehakiman termasuk dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), kini menjadi topik yang semakin membimbangkan sehingga menggugat keyakinan terhadap integriti institusi kehakiman.
Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Dr Abdul Aziz Azizam menyifatkan normalisasi terhadap tindakan tersebut sebagai satu bentuk penyalahgunaan maklumat yang bertentangan dengan undang-undang.
“Membocorkan dokumen sulit bukan sesuatu yang asing pada zaman sekarang.
“Tetapi jika ia dianggap lumrah dan tidak dikenakan sebarang tindakan, kita berisiko menjadikan institusi awam sebagai medan spekulasi dan ketegangan bukannya sebagai pelindung kepada kestabilan dan keadilan,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Tambah beliau, meskipun masyarakat berhak mengetahui perkembangan pelantikan jawatan tertinggi kehakiman termasuk jawatan Ketua Hakim Negara yang masih kosong selepas hampir sembilan bulan penularan dokumen sulit bukanlah saluran yang wajar.
“Kita kena faham apa yang mendorong tindakan ini.
“Ia mungkin lahir daripada rasa kecewa terhadap kelewatan atau kurangnya ketelusan dalam proses pelantikan tetapi pada masa yang sama, ia juga menimbulkan persoalan besar tentang pelanggaran kerahsiaan dan prosedur institusi,” jelasnya.
Menurut Dr Abdul Aziz, prinsip ketelusan tetap penting, namun ia perlu dicapai melalui saluran yang sah, beretika dan bertanggungjawab.
Terdahulu, media melaporkan satu dokumen yang memaparkan petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada bulan Mei telah tersebar di media sosial, dipercayai bermula dari laman Reddit sebelum tular di Facebook dan aplikasi X.