Calon PKR Tandatangan Aku Janji, Bon RM10 Juta – Fuziah

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan komitmen teguh terhadap integriti dan kesetiaan calon menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17, apabila kesemua 10 calon yang diketengahkan telah menandatangani surat aku janji bersama bon perjanjian bernilai RM10 juta.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, bon tersebut akan berkuat kuasa sekiranya mana-mana calon membelot amanah parti selepas memenangi kerusi.

“Semoga komitmen 100 peratus calon kepada parti, pengundi dan kawasan diwakili dapat melaksanakan amanah diberikan sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Barisan calon PKR kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas timbalan menteri, penjawat awam dan golongan profesional, mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan pengalaman yang dibawa ke medan politik Sabah.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR telah memperkenalkan kesemua 10 calon tersebut dalam Sesi Rapat Umum dan Pengumuman Calon PKR bagi PRU DU Sabah ke-17 yang berlangsung malam tadi.

Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan bahawa PH akan bertanding di 23 daripada 73 kerusi DU Sabah, dengan kesemua calon bertanding di bawah logo rasmi Pakatan Harapan.

Anda Mungkin Berminat