KUALA LUMPUR: Calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 hanya dibenarkan membuat penangguhan maksimum sebanyak dua kali sebelum tindakan tegas, termasuk undang-undang, akan diambil sekiranya masih gagal melaporkan diri.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata langkah tersebut penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang kini kembali dilaksanakan semula.
“Hanya dua kali penangguhan dibenarkan. Jika selepas itu calon masih gagal hadir, kita akan pertimbangkan langkah seterusnya termasuk sesi kaunseling kepada ahli keluarga. Tindakan undang-undang adalah pilihan terakhir selepas semua pendekatan lain dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perbarisan Penutupan Rasmi PLKN 3.0 Siri 2/2025 di ibu negara, hari ini, memetik berita tempatan.

Mengulas lanjut, Adly memaklumkan sedikit kelonggaran diberikan kepada calon yang menyambung pengajian, manakala individu dengan masalah kesihatan kekal akan dikecualikan daripada mengikuti program.
PLKN 3.0 Siri 2/2025 yang bermula 11 Mei lalu selama 45 hari ditamatkan secara rasmi hari ini, melibatkan seramai 444 pelatih.
Dua peserta telah dinobatkan sebagai pelatih terbaik program iaitu Nurul Alleysya Balqis Abdullah dan Bartholomew Thierry Timothy.
Baca juga: