KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan aktivis, Caprice akan mengadakan sidang media pada petang ini susulan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi satu video di TikTok berhubung dakwaan kononnya beliau memfitnah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 38, sidang media tersebut diadakan bagi memperjelaskan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang tuduhan fitnah seperti yang didakwa.
Difahamkan, ia bagi menjawab kenyataan Rafizi dalam video berkenaan yang menyentuh isu dakwaan fitnah oleh Caprice, sekali gus mencetuskan polemik dan perdebatan dalam kalangan warganet.
Pihak Caprice turut memaklumkan bahawa sesi tersebut bertujuan menjelaskan konteks sebenar kenyataan yang didakwa telah disalah tafsir serta disensasikan oleh pihak-pihak tertentu.
Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu memberi amaran akan memfailkan saman terhadap Caprice sekiranya tiada permohonan maaf dibuat selepas fakta sebenar dibentangkan.
Menurut kenyataan media, isu tersebut berkait dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua dasar nasional iaitu program Silicon Vision dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) semasa beliau menjawat Menteri Ekonomi.
Perkembangan lanjut berhubung isu berkenaan dijangka diperincikan dalam sidang media tersebut.
Baca juga:








