Che Nom Undur Diri Dunia Pempengaruh “Dah Sampai Masa Tutup Buku”

Oleh: Aliyaa Azmi

SELEPAS lebih 10 tahun mencipta kandungan masakan digital, nama tersohor Che Nom mengumumkan pengunduran dirinya daripada dunia pemasaran pempengaruh.

Perkara itu dikongsi Normah Bakar, 43, atau lebih dikenali sebagai Che Nom, menerusi satu hantaran panjang di akaun Facebooknya, semalam.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai cabaran semasa dalam industri pencipta kandungan, khususnya yang melibatkan kerjasama komersial.

“Ramai ingat jadi pempengaruh senang, tapi realitinya makin lama makin perit. Terlalu ramai pempengaruh sekarang, berlaku ‘price war’ dan akhirnya kualiti jadi mangsa,” tulisnya.

Che Nom turut mendedahkan bahawa tawaran bayaran lumayan selalunya datang daripada syarikat besar antarabangsa, namun ada antara mereka yang membawa nilai sukar untuk disokong secara peribadi.

“Klien letak harapan tinggi, tapi kita tak boleh jamin views. Nak hasilkan video ikut brief, edit banyak kali, dan siapkan ikut deadline semua tu bukan semudah yang disangka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Che Nom menitipkan nasihat kepada generasi muda yang berminat untuk menjadi pencipta kandungan agar membina asas kukuh terlebih dahulu.

“Belajarlah dan kerja dulu di tempat yang ada sistem dan disiplin. Dunia influencer bukan jalan pintas cari duit. Tanpa asas, tekanan boleh membebankan,” ujarnya.

Che Nom turut memaklumkan bahawa video terakhirnya bersama jenama Anchor akan menjadi penutup kepada kerjaya pempengaruhnya.

“Doakan Che Nom ya… dan terima kasih atas sokongan selama ini,” tulisnya dalam hantaran beremosi itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat