Chegubard, Youtuber Diperintah Bayar RM550,000 Kepada Farhash Dalam Kes Fitnah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador diberikan ganti rugi berjumlah RM550,000 dalam saman fitnahnya terhadap Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard serta Youtuber, Nurpais Ismail.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi memutuskan kedua-dua defendan telah membuat kenyataan fitnah terhadap Farhash dalam satu siaran audio (podcast) yang diterbitkan di laman YouTube Nurpais pada Mei tahun lalu.

Beliau berkata, tuntutan Farhash tidak dicabar kerana kedua-dua defendan gagal hadir ke mahkamah, menyebabkan kes diteruskan tanpa pembelaan mereka pada 12 Januari.

“Bagi ganti rugi am, (selepas mengambil kira) keterukan dakwaan, tahap penyebaran, kedudukan plaintif dalam masyarakat serta keperluan untuk pembersihan nama, saya menetapkan ganti rugi am sebanyak RM300,000,” katanya.

Arziah berkata, ganti rugi teladan dan teruk wajar diberikan kerana tindakan defendan dianggap serius.

“Saya dapati ganti rugi teladan juga wajar diberikan kerana kedua-dua defendan menunjukkan sikap tidak peduli yang sinis dan terancang terhadap reputasi plaintif dengan memilih untuk mengeksploitasi dan merosakkan nama baiknya demi kepentingan politik serta komersial mereka sendiri.

“Pemberian ganti rugi teladan adalah perlu bagi menghantar mesej jelas bahawa tingkah laku sedemikian tidak akan diterima,” katanya.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar faedah tahunan sebanyak lima peratus ke atas jumlah penghakiman bermula 26 Mei 2025, iaitu tarikh kes difailkan, sehingga kes diselesaikan sepenuhnya.

Pesuruhjaya kehakiman itu menegaskan kenyataan Chegubard jelas merujuk kepada Farhash termasuk menyebut jawatan politik dan pelantikan korporatnya.

“Defendan pertama tidak meninggalkan ruang untuk kekaburan dengan memberikan butiran pengenalan khusus termasuk peranan plaintif sebagai (bekas) setiausaha politik dan ‘anak emas’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan Chegubard dalam temu bual bersama Nurpais menunjukkan niat bahawa kata-katanya akan disebarkan kepada puluhan ribu penonton.

“Defendan kedua (Nurpais) mempunyai kawalan editorial sepenuhnya sama ada mahu menerbitkan kandungan fitnah tersebut atau tidak.

“Tingkah laku ini bukan sekadar penerbitan pasif kerana beliau mengambil bahagian dalam temu bual dengan mengajukan soalan yang dirancang untuk mencetuskan jawapan yang memfitnah plaintif,” katanya.

Anda Mungkin Berminat