China Tolak Desakan AS, Tegas Terus Beli Minyak Dari Rusia Dan Iran

WASHINGTON: China menolak tuntutan Amerika Syarikat (AS) agar negara itu menghentikan pembelian minyak dari Rusia dan Iran dengan menegaskan bahawa keputusan berkaitan tenaga akan terus dibuat berdasarkan kepentingan nasionalnya.

Menurut laporan ABC News, China kekal berpendirian tegas meskipun rundingan perdagangan dan tarif antara kedua-dua negara telah menunjukkan beberapa kemajuan.

Isu pembelian minyak ini, bagaimanapun, terus menjadi titik panas dalam hubungan China-AS.

“China akan sentiasa memastikan bekalan tenaganya dengan cara yang selaras dengan kepentingan negara kami,” kata Kementerian Luar China, menerusi kenyataan di platform X pada Rabu, susulan rundingan dua hari di Stockholm.

Kenyataan itu turut menyelar pendekatan AS yang dianggap bersifat memaksa.

“Paksaan dan tekanan tidak akan membawa sebarang hasil.

“China akan mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunannya dengan tegas,” katanya.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mengakui ketegasan China dalam isu ini selepas rundingan tersebut.

“Kami tidak mahu mengganggu kedaulatan mereka, jadi mereka lebih rela membayar tarif 100 peratus,” katanya.

Dalam kenyataan lanjut pada Khamis, Bessent menyifatkan wakil China sebagai perunding yang tegas, namun menegaskan bahawa pendirian mereka tidak menjejaskan keseluruhan proses rundingan.

Anda Mungkin Berminat