‘Co-Payment’ MHIT tidak beban rakyat, bantu kekang kos perubatan – Menteri

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT) berpremium serendah RM80 sebulan diperkenalkan sebagai langkah untuk mengawal kenaikan kos perubatan serta mengurangkan beban kewangan isi rumah.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, antara teras utama pelaksanaan MHIT ialah pengenalan konsep ‘co-payment’ yang bertujuan meningkatkan ketelusan harga dan memastikan kawalan kos perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Konsep co-payment ini bukan untuk membebankan rakyat dengan bayaran yang tinggi, sebaliknya bagi memastikan ketelusan dari segi harga serta meletakkan tanggungjawab kepada pihak pengurus perkhidmatan kesihatan untuk mengawal kos rawatan,” katanya.

Menurut beliau, mekanisme itu dijangka dapat mewujudkan kawalan yang lebih seimbang daripada pihak penerima perkhidmatan dan juga penyedia perkhidmatan kesihatan, sekali gus membantu mengekang peningkatan kos perubatan secara keseluruhan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poa Tiong, mengenai matlamat utama pengenalan MHIT, kriteria kumpulan sasaran serta keberkesanan pelan berkenaan dalam mengurangkan kos perubatan isi rumah berbanding insurans sedia ada di sidang Parlimen, Dewan Rakyat pada Khamis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat