Kerajaan Madani kekal tolak normalisasi LGBT – Menteri Agama

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Kerajaan Madani menolak normalisasi Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) kerana ia bercanggah dengan agama moral dan nilai masyarakat.

Perkara itu dilontarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan yang sekali lagi mengulangi pendirian itu menerusi kenyataan media pada lewat Rabu.

Zulkifli dengan rendah hati turut mengajak orang ramai untuk kembali bertabayyun merujuk sumber sahih mengenai konteks jawapan lisan beliau berkait LGBT pada Selasa.

Ini kerana, terdapat ramai pihak yang keliru dan tidak memahami konteks sebenar tentang kenyataan beliau bahawa punca di sebalik ramai individu di negara ini terjebak dengan dakyah LGBT adalah kerana tekanan atau ‘stress’ ketika bekerja.

Menerusi jawapan lisan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan di Sidang Parlimen, Dewan Rakyat, beliau menjelaskan Kerajaan MADANI tegas mempertahankan prinsip dan nilai-nilai norma sejagat dengan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk promosi program-program yang berunsurkan lesbian, gay, bisexual, transgender, and queer (LGBT/LGBTQ).

“Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa bertegas mana-mana pihak atau masyarakat awam boleh segera melaporkan aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika mendapati pihak-pihak tertentu telah menyalahgunakan platform media sosial di negara ini untuk menyebarkan dan mempromosikan aktiviti yang bertentangan dengan Islam dan nilai-nilai kesusilaan budaya masyarakat di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan MADANI sentiasa peka dalam perkara berkaitan agama Islam termasuk penguatkuasan kes-kes jenayah syariah seperti musyahaqah, liwat, lelaki berlagak wanita serta kes yang boleh dikaitkan dengan LGBT di kalangan orang Islam adalah dalam bidang kuasa Negeri. Ini selaras dengan ketetapan Butiran 1, Senarai II -Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Di Wilayah Persekutuan, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan di bawah Akta Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 berdasarkan Seksyen 25 berkaitan Liwat, Seksyen 26 berkaitan Mushahaqah dan Seksyen 28 berkaitan orang lelaki berlagak seperti perempuan.

“Mana-mana orang yang disyaki terlibat tetapi tidak mempunyai bukti yang mencukupi akan diberikan nasihat, kaunseling atau diarahkan hadir kursus kesedaran dan pemulihan tentang kesalahan yang bertentangan dengan akhlak dan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat statistik di sepanjang tahun 2022 hingga 2025 terhadap tangkapan berkenaan isu LGBT oleh Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak 135 kes kesemuanya.

Oleh itu, Kerajaan juga telah melaksanakan berbagai program dakwah dan kursus khas terhadap golongan ini. Bagi tujuan membimbing mereka ke arah yang lebih baik.

“Bantuan-bantuan tertentu juga disalurkan bagi membimbing mereka menceburi bidang pekerjaan yang lebih baik dan bidang perniagaan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat