PUTRAJAYA: Malaysia melakar sejarah baharu dalam pendekatan kesihatan mental apabila Kerajaan MADANI secara rasmi menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri bermula Jumaat, bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2025.
Langkah itu dilaksanakan melalui penguatkuasaan tiga pindaan utama yang diluluskan Parlimen pada 2023 iaitu Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023, Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023.
Dengan pindaan ini, Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang sebelum ini membolehkan individu yang cuba membunuh diri dipenjara atau didenda telah dimansuhkan sepenuhnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, reformasi ini adalah bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani isu kesihatan mental secara berperikemanusiaan.
“Reformasi undang-undang ini memberi anjakan besar dalam usaha pencegahan bunuh diri dengan menghapuskan stigma dan menggalakkan individu tampil mendapatkan rawatan,” menurut kenyataan bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, sebagai ganti kepada pendekatan hukuman, pindaan Akta Kesihatan Mental memperkenalkan peranan baharu Pegawai Intervensi Krisis (PIK) yang terdiri daripada anggota polis, bomba, APM, APMM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diberi kuasa untuk bertindak segera dalam kes cubaan bunuh diri.
“PIK diberi kuasa membawa individu ke hospital psikiatri untuk penilaian dan rawatan.
“Hampir 145 hospital kerajaan dan dua hospital universiti akan diwartakan untuk menerima kes tersebut,” jelas kenyataan itu.
Katanya, walaupun cubaan bunuh diri tidak lagi dianggap jenayah, kesalahan persubahatan bunuh diri masih kekal.
Malah, Seksyen 305 dan 306 Kanun Keseksaan telah diperkukuh bagi melindungi kanak-kanak dan individu kurang upaya mental daripada dipengaruhi atau dimanipulasi oleh pihak lain.
Sebelum ini, pendekatan jenayah terhadap cubaan bunuh diri menerima kritikan meluas daripada pakar kesihatan mental dan aktivis.
Usaha menyahjenayahnya mula digerakkan sejak 2022, sebelum akhirnya diluluskan Parlimen pada 2023 dan kini dikuatkuasakan secara rasmi.








