Cubaan Seludup 320kg Daun Ketum Gagal, Dipatahkan TDM

PADANG TERAP: Pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 320 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran dalam satu operasi berhampiran sektor tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Bgd), semalam.

Kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 pagi apabila pasukan operasi mengesan 16 beg plastik hitam berisi daun ketum di lokasi yang dipercayai dijadikan ‘dumping point’.

Menurut TDM, barang rampasan itu dipercayai akan diseludup keluar menggunakan motosikal melalui laluan denai.

TDM berkata, anggaran nilai rampasan mencecah RM9,600 dan kesemua barangan telah diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk siasatan lanjut.

“TDM komited memastikan keselamatan sempadan terus terpelihara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti jenayah rentas sempadan mahupun penyeludupan,” menurut kenyataan itu.

TDM turut memaklumkan bahawa bagi membanteras aktiviti penyeludupan haram dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pasukan keselamatan itu turut mempertingkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan.

Pasukan itu turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan atas dedikasi dan integriti dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

Anda Mungkin Berminat