PARLIMEN | Kerajaan MADANI menegaskan komitmen membina masyarakat lebih sihat melalui pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat, termasuk langkah menaikkan cukai terhadap produk rokok dan minuman keras mulai 1 November 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kadar duti eksais rokok dinaikkan dua sen sebatang, manakala produk cerut, cheroots dan cigarillos meningkat RM40 sekilogram serta produk tembakau dipanaskan naik RM20 sekilogram kandungan tembakau.
Pada masa sama, kerajaan melanjutkan pengecualian duti import dan cukai jualan terhadap produk terapi gantian nikotin, termasuk nikotine mist dan nikotine lozenges sehingga 31 Disember 2027.
Untuk menggalakkan gaya hidup lebih sihat, kadar duti eksais minuman keras turut dinaikkan sebanyak 10 peratus, juga berkuat kuasa mulai 1 November 2025. Langkah ini, menurut Anwar, bukan sekadar untuk menambah hasil tetapi bagi mengekang ketagihan dan mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit.
Hasil tambahan daripada cukai rokok dan arak akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membiayai Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, rawatan diabetes dan penyakit jantung serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam.
“Mencegah lebih baik daripada mengubati,” tegas Perdana Menteri sambil mengumumkan bahawa perbelanjaan vaksinasi kini layak mendapat pelepasan cukai individu bagi semua jenis vaksin yang diluluskan KKM, sejajar matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara sihat, produktif dan berdaya saing.
Baca juga:








